Friday, April 24, 2009

Bolehkah si kecil tidur lewat ?

Saya sering menghadapi masalah untuk menidurkan awal kepada anak-anak lebih lagi usia anak saya yang pertama dan kedua 5 dan 3 tahun. Artikel dari Majalah PA & MA ini dapat memberi panduan kepada saya dalam menidurkan anak-anak. Di sini saya berkongsi bersama anda semua.


Pa & Ma ; Norhasliza Yusoff


TAHUKAH ANDA
Meskipun waktu tidur boleh diganti pada waktu siang, namun kualiti tidur malam jauh lebih baik dari tidur siang


Kanak-kanak boleh berjaga sepanjang malam dan kelihatan tidak letih apabila bangun pada pagi esoknya, namun ia sebenarnya mengganggu proses pembesarannya. Tidur adalah faktor yang penting untuk membantu pembesaran fizikal dan perkembangan mentalnya

Adalah penting untuk memastikan si kecil mendapat tidur yang mencukupi. Hasilnya supaya si kecil ceria dan bertenaga. Manakala kanak-kanak yang tidak mendapat tidur yang mencukupi akan berasa letih dan mempunyai masalah perkembangan dirinya termasuk menghadapi kesukaran untuk memberi perhatian dan memahami pembelajaran bahkan dia dengan senang membuat ragam.

Sehubungan itu, ibu bapa perlu peka mengenai tempoh masa tidur yang betul bagi si kecil . Pakar berpendapat bahawa kanak-kanak mempunyai jumlah tertentu mengikut perkembangan dirinya. Namun dalam hal ini, ibu bapa yang berhak untuk memastikan si kecil mendapat rehat dan tidur yang mencukupi setiap hari. Walau bagaimanapun setiap kanak-kanak mempunyai tempoh masa tidur yang berbeza mengikut umur. Ikuti panduan seperti berikut :

  • Bayi baru lahir - lebih kurang 16 jam atau lebih sehari (kadang kala sehingga 20 jam), selalunya tidur sebentar 3 hingga 4 kali
  • 2 sehingga 4 bulan - lebih kurang 15 jam setiap hari termasuk tidur sebentar 2 atau 3 kali
  • 6 sehingga 9 bulan - lebih kurang 14 jam sehari termasuk tidur sebentar 2 kali (selalunya waktu pagi dan waktu makan tengahari)
  • 12 sehingga 15 bulan - lebih kurang 13 sehingga 14 jam setiap hari termasuk tidur sebentar 1 atau 2 kali
  • 18 bulan - lebih kurang 13 sehingga 14 jam setiap hari termasuk tidur sebentar 1 kali. Biasanya waktu pagi adalah waktu untuk dia tidur
  • 2 tahun - lebih kurang 13 jam setiap hari termasuk tidur sebentar sekali sahaja
  • 3 tahun - lebih kurang 12 jam setiap hari termasuk tidur sebentar sekali sahaja
  • 4 tahun - lebih kurang 12 jam pada waktu malam
  • 5 tahun - lebih kurang 11 jam pada waktru malam tanpa ada waktu tidur lain
  • 6 sehingga 9 tahun - lebih kurang 10 jam waktu malam

BAGAIMANA MENGAJAK SI KECIL TIDUR AWAL

  1. Pastikan si kecil tahu dengan jelas waktu untuk dia tidur
  2. Tegas apabila waktu tidur sudah tiba
  3. Jangan biarkan dia menonton televisyen setengah jam sebelum waktu tidurnya
  4. Cipta suasana tenang seperti suasana bilik yang senyap dan gelap
  5. Biarkan si kecil tidur dengan sendiri daripada anda yang mendodoikannya
  6. Jangan berinya minuman berkafein seperti kopi yang menyegarkan matanya
  7. Jadikan waktu tidurnya adalah rutin. Jangan ubahnya kecuali jika perlu
  8. Hargai setiap masa jika si kecil mengatakan mahu tidur

  • patuhi tip ini secara konsisten. si kecil yang tidur awal akan menjadi seorang kanak-kanak yang sihat dan ceria

TIDUR YANG SECUKUPNYA

Untuk tahu sama ada anak anda mendapat tidur secukupnya cuba anda teliti perkara-perkara berikut :-

  • Adakah anak anda terus tertidur sebaik sahaja ia menaiki kenderaan yang bergerak ?
  • Adakah anda perlu mengejutkan anak anda setiap pagi ?
  • Adakah anak anda menggosokkan mata ?
  • Adakah anak anda merengek, meragam ataupun kelihatan letih sebaik sahaja dia bangun tidur ?
  • Pada waktu malam, anak anda kadangkala tertidur lebih awal dari waktu kelaziman ia tidur ?

Sekiranya semua soalan di atas jawapannya 'YA'. Ini bermakna anak anda mengalami kekurangan tidur dan boleh menjejaskan pertumbuhannya.

Info

TIDUR AWAL JAMIN KESIHATAN

Usia si kecil semakin meningkat. sehubungan itu mengajar si manja tidur awal sejak kecil adalah penting supaya tidak menghadapi masalah kesihatan apabila usianya mencapai umur pra sekolah. ini kerana daripada hasil kajian yang dilakukan oleh Jean-Philippe Chaput, Marc Brunet dan Angelo Tremblay mengumpulkan data sebanyak 422 anak usia 5 sehingga 10 tahun. Mereka melakukan penilaian terhadap berat badan, tinggi badan dan lingkar pinggang para peserta. mereka turut mengumpulkan informasi tentang gaya hidup anak-anak tersebut serta status sosial ekonominya melalui wawancara dengan ibu bapa mereka. Hasil penelitian tentang Body Mass Indes menunjukkan bahawa 20 peratus kanak-kanak lelaki dan 24 peratus kanak-kanak perempuan mengalami masalah kegemukan. Anak-anak yang memiliki waktu tidur kurang dari 10 jam dalam seharinya berisiko mengalami kegemukan 3 atau 5 kali lebih tinggi dibandingkan dengan mereka yang tidur 12 jam atau lebih dalam seharinya.

0 orang komen: