Friday, March 13, 2009

MP3 akibatkan hilang pendengaran ?



JIKA dahulu 'walkman' merupakan pemain muzik mudah alih yang menjadi kegilaan ramai pengguna. Kini, dengan aliran teknologi yang semain meningkat, kemunculan MP3, MP4, iPod, seakan-akan menjadi satu fenomena yang begitu besar. Biarpun berbeza istilah, namun penggunaannya tetap sama.

Di mana sahaja kita pasti melihat ramai orang memakai MP3 tidak kiralah ketika menunggu bas, di dalam LRT, berjalan, membaca, beriadah, bekerja dan malahan ketika tidur. Jadi tidak harianlah, jika dikatakan hampir semua orang terutamanya remaja memiliki satu daripadanya. Apatah lagi kini telefon bimbit juga disertakan dengan fungsi MP3.

Namun, apa yang menimbulkan kebimbangan ialah kebanyakan individu ini begitu gemar mendengar muzik dengan kuat sama ada menyedarinya @ tidak. Ini kerana permainan muzik seperti ini boleh memberikan ancaman besar terhadap kesihatan pendengaran kita.

Antara faktor-faktor yang boleh menjejaskan kesihatan pendengaran ialah kadar bunyi, masa yang digunakan untuk mendengar dan jenis fon telinga yang digunakan. Desibel yang tinggi iaitu sekitar 85 desibel dan mendengar selama lapan jam, boleh menyebabkan kehilangan pendengaran yang ketara. Begitu juga dengan mendengar selama empat jam dengan kadar 88 desibel juga boleh mengakibatkan kesan yang sama.

Jika dahulu, fon telinga yang digunakan agak besar, namun kini fon telinga bagi MP3 didatangkan dalam bentuk yang lebih kecil. Justeru, bunyi muzik yang disalurkan ke tinga akan lebih dekat ke gegendang telinga kita. Akibatnya, pendedahan bunyi yang terlalu kuat dan kerap akan menjejaskan pendengaran dengan lebih cepat. Fon telinga kecil dikatan dapat meningkatkan kadar bunyi sebanyak 9 desibel.

LINDUNGI PENDENGARAN

Berikutan itu, bagi anda yang gemar menggunakan MP3, MP4, iPod, pastikan kadar bunyi dan masa mendengar dikurangkan. Tidak perlulah memasang muzik terlalu kuat sehingga orang di sekeliling juga boleh mendengar irama tersebut. Dengan mengurangkan kadar bunyi, anda boleh mendengar dalam tempoh masa yang lebih panjang. Begitu juga ketika terdedah pada persekitaran bising, rendahkan juga kadar bunyi MP3 anda itu.

Bagi memastikan telinga sentiasa terpelihara, pastikan anda menjalankan pemeriksaan tahunan telinga dengan pakar telinga. Ia penting bagi memastikan sebarang perubahan pada pendengaran anda. Tanpa pemeriksaan oleh doktor bertauliah, masalah peringkat awal pendengaran tidak mungkin dapat dikesan dengan sendirinya.

Selain itu, luangkan sedikit masa anda untuk berehat di tempat yang senyap dan sunyi. Ini kerana, sepanjang hari telinga sentiasa terdedah pada bunyi bising dan akhirnya boleh menjejaskan pendengaran. Justeru, dengan berehat di tempat yang sunyi dan tanpa gangguan, ia boleh membantu pendengaran anda.

Akhir sekali, gunakan fon telinga yang terbukti canggih iaitu dapat mengasingkan bunyi bising di luar telinga. Dengan menggunakan fon telinga yang terbukti baik ini, akan membolehkan anda mendengar muzik dengan jelas pada kadar yang rendah. Anda juga dinasihatkan menggunakan fon telinga yang dipakai di luar telinga berbanding fon telinga yang dipakai ke dalam telinga.

Lantaran itu, sebagai pengguna di zaman intelektual ini, anda perlulah bijak mengimbangi arus kemodenan teknologi ini. Tidak salah mendengar muzik tetapi pastikan ia tidak didengar secara kerap dan terlalu kuat. Sayangilah telinga anda sebelum keupayaan mendengar diragut oleh kealpaan anda sendiri.



Oleh : Nurul Huda Zukifli
Majalah Harmoni

1 orang komen:

armouris said...

info tentang hilang pendengaran kat sini - Type of Hearing Loss